Lawatan Ke IPB University, Bogor, Indonesia | INSTITUT PERHUTANAN TROPIKA DAN PRODUK HUTAN
» BERITA » Lawatan ke IPB University, Bogor, Indonesia

Lawatan ke IPB University, Bogor, Indonesia

Bogor, Indonesia, 10 Januari 2024 – Lawatan ke IPB University, Bogor, Indonesia berjaya dilaksanakan pada 10 – 11 Januari 2024. Lawatan ini disertai oleh 5 orang pegawai dan staf daripada Laboratori Pengurusan Biosumber Mampan (BIOREM), Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP) dan diketuai oleh Prof. Dr. Zaiton Samdin. Lawatan ini bertujuan untuk menjalinkan hubungan kerjasama strategik antara penyelidik Laboratori BIOREM di dalam pengkhususan pengurusan perladangan buluh dan Eucalyptus di dalam bidang pembangunan modul teknik tisu kultur, pemantauan rumah hijau secara automatik dan pembangunan teknik penanaman terbaik. Selain itu, ia memberikan peluang dalam penambahan ilmu pengetahuan dan menjalankan  jaringan kolaborasi bersama institut penyelidikan luar negara di dalam bidang perhutanan.

Satu perbincangan yang dipengerusikan oleh Dr. rer. agr. Eva Anggraini, selaku Direktur Konektivitas Global telah diadakan antara kedua pihak termasuk barisan profesor dan penyelidik  dari Fakultas Kehutanan dan Lingkungan, IPB University. Antara perbincangan semasa taklimat tersebut adalah mengenai penglibatan kerjasama IPB University dan INTROP dalam seminar, penerbitan serta jaringan kerjasama di masa hadapan. Di kesempatan ini pihak INTROP turut juga mempromosikan program siswazah yang ditawarkan di INTROP dan program mobiliti pelajar. Lawatan yang berlangsung selama dua hari tersebut merangkumi beberapa aktiviti iaitu lawatan ke Makmal Kultur Tisu dan kawasan penanaman buluh, Yayasan Bambu Indonesia dan Hutan Pendidikan Gunung Walat.

 

Penganjuran lawatan dapat menyumbang kepada pengetahuan dan teknik melahirkan pengusaha produk dari bahan buluh seperti yang dilaksanakankan oleh Yayasan Bambu Indonesia di Bogor. Yayasan ini berperanan mendidik penduduk tempatan mencipta produk dari buluh di mana setiap tahun lebih dari 500 penduduk berjaya menjadi pengusaha buluh. Tambahan lagi, satu aktiviti lawatan ke Hutan Pendidikan Gunung Walat, Bogor yang merupakan hutan di bawah Fakultas Kehutanan dan Lingkungan, IPB University turut dilaksanakan termasuk menyelusuri denai hutan dan perbincangan berkaitan buluh dan Eucalyptus bersama Encik Meidilaga selaku Pengurus Lapangan di Hutan Pendidikan Gunung Walat.

Lawatan ini diharap dapat membina potensi pegawai dan staf UPM yang ingin mengembangkan kepakaran dalam bidang perhutanan dan menjadikan staf makmal yang lebih berpengetahuan di samping mampu menjalankan kerja–kerja di makmal secara kompeten. Selain itu, lawatan ini akan lebih menyerlahkan lagi keterlihatan INTROP di peringkat rantau Asia dan Antarabangsa.

 

 

Tarikh Input: 20/02/2024 | Kemaskini: 21/02/2024 | amallina.osman

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PERHUTANAN TROPIKA DAN PRODUK HUTAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691880
0397691896
SXEbUAX~