Bengkel Pemindahan Ilmu Kepada Komuniti Dan Industri Serta Mesyuarat Pelarasan Projek Kerjasama Pengkomersilan Tekstil Kenaf Bagi Industri Pembuatan Bot. | INSTITUT PERHUTANAN TROPIKA DAN PRODUK HUTAN
» BERITA » Bengkel Pemindahan Ilmu kepada Komuniti dan Industri serta Mesyuarat Pelarasan Projek Kerjasama Pengkomersilan Tekstil Kenaf Bagi Industri Pembuatan Bot.

Bengkel Pemindahan Ilmu kepada Komuniti dan Industri serta Mesyuarat Pelarasan Projek Kerjasama Pengkomersilan Tekstil Kenaf Bagi Industri Pembuatan Bot.

KUALA TERENGGANU, 21 JAN - Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan INTROP UPM telah menganjurkan Bengkel Pemindahan Ilmu kepada Komuniti dan Industri serta Mesyuarat Pelarasan Projek Kerjasama Pengkomersilan Tekstil Kenaf Bagi Industri Pembuatan Bot. Pemindahan Ilmu dan lawatan telah diadakan di MSET Inflatable Composit Corporation Sdn Bhd, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia cawangan Terengganu. Selain program pemindahan ilmu, melalui geran LKTN, ketua projek Prof. Ir .Ts .Dr. Khalina Abdan juga melaksanakan ujikaji fungsi bot penyelamat daripada gentian kenaf. Projek ini adalah kerjasama daripada pihak LKTN dan INTROP UPM. Program ini bertujuan untuk memberi pemahaman kepada industri kraf di Terengganu tentang penyelidikan semasa universiti dengan menggunakan gentian serat semula jadi. Selain itu, program ini dapat menyumbang idea kepada pihak industri bot tempatan di Kuala Terengganu tentang bahan baru yang boleh digunakan sebagai bahan asas pembuatan bot penyelamat.

 

Semasa aktiviti pengujian bot gentian kenaf berlangsung, seramai 31 orang peserta termasuk daripada pihak penyelidik UPM, MSET Inflatable Composit Corporation Sdn Bhd, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Green Advantex Sdn Bhd dan pegawai LKTN menyertai program tersebut yang antara aktivitinya adalah seperti penerangan mengenai latar belakang projek, pembentangan hasil kajian projek dan seterusnya pengujian bot gentian kenaf yang dilaksanakan di Muara Pulau Kambing Kuala Terengganu. Bot yang telah dihasilkan dapat memuatkan sehingga 8 orang penumpang dan ujian pemanduan meliputi ‘maneuver, crash stop’ dan ujian prestasi kelajuan. Ujian dilaksanakan mengambil masa kira-kira 45 minit.

  

Seterusnya, aktiviti diteruskan dengan lawatan tapak ke bengkel pembuatan bot dan MSET Inflatable Composit Corporation Sdn. Bhd yang terletak di Gong Badak Kuala Terengganu. Di sini terdapat bot penyelamat yang boleh dikembungkan dengan menggunakan teknik tekanan angin. Setelah selesai sesi lawatan, semua peserta berkumpul di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi sesi pemindahan ilmu. Sesi ini telah dikongsikan oleh Ts. Dr. Mohd Radzi Ali mengenai proses pembuatan komposit dan hasil ujikaji beliau meliputi ujian fizikal dan mekanikal. Perkongsian ini adalah penting untuk mendedahkan tentang potensi penggunaan teknologi dalam pembuatan komposit dengan menggunakan gentian semula jadi dan menggalakkan pembangunan penyelesaian inovatif untuk pengusaha dan pihak industri.

Program diteruskan ke Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia cawangan Terengganu untuk melihat proses pembuatan kain dengan menggunakan teknik tenunan tradisional. Ketua Pengarah Kraftangan Encik Md Azrul Hussein menyambut baik kedatangan pihak INTROP dan membentangkan beberapa hasil kreatif kraftangan tempatan daripada Terengganu. Pihak kraftangan juga memberi peluang kepada kami untuk melawat bengkel tenunan, kimpalan dan juga bengkel mencanting batik yang terdapat di situ. Hasil lawatan, pihak INTROP juga berkongsi idea tentang penggunaan serat gentian semula jadi untuk projek pembuatan bot. Melalui lawatan ini, pihak INTROP juga berjaya berkongsi ilmu mengenai hasil penyelidikan terkini.

 

 

Tarikh Input: 09/02/2024 | Kemaskini: 09/02/2024 | amallina.osman

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PERHUTANAN TROPIKA DAN PRODUK HUTAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691880
0397691896
SXEbTAH~